Dasar dan Polisi

EPP
KRITERIA PENYERTAAN EPP SUBSEKTOR TERNAKAN
DALAM PROGRAM TRANFORMASI EKONOMI

PENGENALAN

1. Jabatan Perkhidmatan Veterinar dilantik menjadi pemilik kepada lima (5) Projek Permulaan (EPP) yang berkaitan dengan subsektor ternakan. EPP merupakan perlaksanaan projek dengan diterajui dan dibiayai oleh pihak swasta. Kerajaan menjadi pemudahcara yang akan memperuntukan sebahagian kecil kewangan yang bertindak sebagai pemangkin dalam mewujudkan industri pacuan pasaran, berskala ekonomi dan pertanian bersepadu.

2. Perlaksanaan EPP adalah berdasarkan pertimbangan ekonomi dengan tujuan untuk meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (GNI) dan mewujudkan peluang pekerjaan. Untuk 5 EPP subsektor ternakan, menjelang tahun 2020, sasaran GNI adalah sebanyak RM 5.275 billion dan sejumlah 27,200 pekerjaan diwujudkan. Sasaran GNI dan jumlah peluang pekerjaan setiap EPP seperti di Jadual 1.
Bil
EPP
GNI
(RM juta)
Bil
Pekerjaan
1
EPP 2 – Meningkatkan pengeluaran “Edible Bird Nest’ (Sarang burung walit)
4,500
20,800
2
EPP 5 – Penternakan lembu dibawah kelapa sawit
150
3,600
3
EPP 12 – Pengukuhan perladangan lembu Fidlot
183
2,000
4
EPP 13 – Mewujudkan kluster lembu tenusu
326
800
5
EPP 16 – pelaburan dalam sektor ternakan di luar negara
117
0
 
Jumlah
5,276
27,200

3. EPP diwujudkan adalah untuk mendokong Model Ekonomi Baru yang menggariskan tiga prinsip iaitu Negara Berpendapatan Tinggi, Menyeluruh (Inclusiveness) dan Mampan (Sustainable). Sehubungan dengan itu wawasan EPP adalah ke arah pertanian adalah perniagaan, berasaskan pasaran, berskala ekonomi dan rantaian nilai yang bersepadu

4. Kerajaan akan menjalankan peranannya bagi melancarkan perjalanan/perlaksanaan EPP. Antara lain peranan kerajaan adalah untuk:
a)
Dimana boleh, memberi kemudahan dan sokongan
b)
Mempercepatkan perubahan peraturan, mengurangkan halangan dan memudahkan perlaksanaan projek EPP
c)
Menawarkan kontrak kerajaan berdasarkan merit, ‘market –friendly, telus dan cepat.
d)
Bertindak cepat dengan maklumbalas dari sektor swasta
e)
Mengeluarkan laporan tahunan pencapaian projek

5. Pihak swasta pula mempunyai peranan untuk menjadikan projek yang dijalankan berdaya maju dan boleh menjana pendapatan kasar negara disamping mewujudkan peluang pekerjaan. Antara lain tugas utama sektor swasta adalah:-
a)
Menjadi peneraju & melaksanakan Projek EPP
b)
Membiayai projek EPP
c)
Memaklumkan sokongan Kerajaan yang diperlukan
6. Untuk menyertai EPP bagi subsektor ternakan, pihak swasta diperlukan untuk memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Kriteria tersebut ditetapkan mengikut EPP yang berkenaan.
7. EPP 2 – meningkatkan pengeluaran “Edible Bird Nest” (Sarang Burung walit) – EPP2 adalah projek yang melibat aktiviti dalam semua rantaian nilai dalam industri EBN iaitu pengeluaran sarang burung walit, pengumpulan, pemprosesan dan pemasaran. Kriteria yang diperlukan adalah:-
 
i.
Individu atau Syarikat berdaftar di Malaysia
ii.
Mempunyai modal secukupnya
iii.
Mempunyai pengetahuan asas perladangan dan pemprosesan sarang burung walit
iv.
Mempunyai kawasan/lokasi projek yang sesuai
v.
Memenuhi syarat yang dikenakan

8. Kriteria untuk terlibat dalam operasi ‘Trading House‘ adalah seperti berikut:-
 
i.
Syarikat berdaftar di Malaysia sekurang-kurangnya Syarikat Sendirian Berhad
ii.
Mempunyai Modal Dibenar sekurang-kurangnya RM 1.0 juta
iii.
Mempunyai Modal Berbayar sekurang-kurangnya RM 0.5 juta
iv.
Berpengalaman dalam bidang perdagangan EBN tempatan & luar negara
v.
Menggaji tenaga professional (sekurang-kurangnya 30 % warga tempatan) dalam pengurusan syarikat
vi.
Sekiranya syarikat usahasama (JV) mestilah dimiliki oleh warga tempatan sebanyak sekurang-kurangnya 51 %
vii.
Mempunyai ikatan atau kerjasama perniagaan yang kukuh dengan syarikat luarnegara terutama dari Negara China
viii.
Memenuhi syarat yang dikenakan

Nota: Surat pelawaan untuk menjadi operator trading house telah diiklankan dalam laman web Jabatan.

EPP 5

9. EPP 5 – Penternakan lembu dibawah kelapa sawit – terdapat 3 pecahan di bawah EPP 5 iaitu penternakan secara integrasi, pembiakan dan pengeluaran bahan makanan ruminan.
a.
Penternakan secara integrasi, adalah pemeliharaan lembu di dalam ladang kelapa sawit milik syarikat samada diusahakan sendiri atau dengan mendapatkan perkhidmatan syarikat lain mengusahakannya.
 
Kriteria syarikat bagi pemeliharan lembu dalah seperti berikut:
 
i.
Syarikat berdaftar di Malaysia sekurang-kurangnya Syarikat Sendirian Berhad, Enterprise atau Perkongsian
 
ii.
Mempunyai Modal Dibenar sekurang-kurangnya RM 500,000
 
iii.
Mempunyai Modal Berbayar sekurang-kurangnya RM 250,000
 
iv.
Berpengalaman dalam bidang penternakan integrasi sekurang-kurangnya lima tahun
 
v.
Menggaji tenaga profesional (sekurang-kurangnya 30 % warga tempatan) dalam pengurusan syarikat
 
vi.
Sekiranya syarikat usahasama (JV) mestilah dimiliki oleh warga tempatan sebanyak sekurang-kurangnya 51 %
 
vii.
Mempunyai perladangan kelapa sawit sekurang-kurangnya 1000 ekar
 
viii.
Kecerunan ladang Kurang < 15o
 
ix.
Umur pokok kelapa sawit lebih 5 tahun
 
x.
Taburan hujan lebih 1500mm setahun
 
xi.
Memenuhi syarat lain yang dikenakan
b.
Pengeluaran bahan makanan – pengeluaran makanan ruminan oleh syarikat pengeluaran makanan ruminan dengan kos yang berpatutan untuk kegunaan sendiri dan keperluan penternak disekitarnya.
 
Kriteria bagi syarikat untuk menjadi peserta EPP pengeluaran makanan:
 
i.
Pengalaman/penglibatan dalam industri makanan haiwan sekurang-kurangnya 3 tahun
 
ii.
Pengalaman/penglibatan dalam pembuatan/kilang makanan haiwan sekurang-kurangnya 3 tahun
 
iii.
Mempunyai sumber bahan mentah yang berkualiti, mencukupi dan berterusan
 
iv.
Mempunyai pasaran stabil dan kukuh
 
v.
Mempunyai premis dalam pembuatan makanan haiwan
 
vi.
Mempunyai “nutritionist” sendiri
 
vii.
Mempunyai ternakan sendiri
 
viii.
Memenuhi syarat lain yang dikenakan
c.
Pembiakan – Pemberian perkhidmatan permanian beradas keatas ternakan lembu untuk meningkatkan prestasi pembiakbakaan.
 
Kriteria bagi syarikat untuk menjadi peserta EPP pembiakan adalah :
 
i.
Mempunyai Pasukan Teknikal
 
ii.
Mempunyai Veterinarwan bertauliah
 
iii.
Mempunyai sistem perekodan yang baik
 
iv.
Menyediakan rancangan perniagaan termasuk rancangan pemasaran yang baik
 
v.
Mempunyai rancangan pengembangan perniagaan
 
vi.
Mempunyai kerjasama atau sokongan teknikal daripada agensi berkaitan (digalakkan)
 
vii.
Mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 2 tahun dalam industri ruminan
10. EPP 12 – Pengukuhan perladangan lembu fidlot – Syarikat swasta diperlukan untuk menjadi syarikat penaraju kepada ladang fidlot milik kerajaan. Ladang ini dikenali sebagai ladang satelite. Ladang satelite akan diusahakan oleh penternak individu. Syarikat peneraju akan menjadi pembekal lembu fidlot dan membeli balik lembu untuk sembelihan. Syarikat swasta dipelawa untuk menjadi syarikat peneraju kepada projek fidlot. Kriteria syarikat adalah seperti berikut:-
 
 
i.
Syarikat berdaftar di Malaysia sekurang-kurangnya Syarikat Sendirian Berhad, Berhad, Enterprise atau Perkongsian
ii.
Mempunyai Modal Dibenar sekurang-kurangnya RM 500,000
iii.
Mempunyai Modal Berbayar sekurang-kurangnya RM250,000
iv.
Berpengalaman dalam bidang penternakan lembu sekurang-kurangnya 3 tahun
v.
Menggaji tenaga profesional (sekurang-kurangnya 30 % warga tempatan) dalam pengurusan syarikat
vi.
Sekiranya syarikat usahasama (JV) mestilah dimiliki oleh warga tempatan sebanyak sekurang-kurangnya 51 %
vii.
Mempunyai pasaran lembu yang kukuh
viii.
Memenuhi syarat lain yang dikenakan

EPP 13

11. EPP 13 – Mewujudkan kluster lembu tenusu. Syarikat peneraju diperlukan untuk kluster tenusu yang terdiri daripada sekumpulan penternak dan koperasi yang dipilih memasuki kluster. Peneraju mendapatkan peruntukan dari kerajaan untuk membeli lembu dan peralatan bagi meningkatkan pengeluaran dan mutu susu para penternak di bawah jagaanya. Selain itu Peneraju membeli susu yang dikeluarkan oleh penternak untuk diproses. Peneraju juga menjalankan aktiviti khidmat nasihat kepada penternakan. Kriteria syarikat peneraju dan penternak yang berminat menyertai EPP 13 adalah seperti berikut:-
 
a.
Syarikat Peneraju
 
i.
Syarikat berdaftar di Malaysia sekurang-kurangnya Syarikat Sendirian Berhad,
 
ii.
Mempunyai Modal Dibenar sekurang-kurangnya RM 5,000,000
 
iii.
Mempunyai Modal Berbayar sekurang-kurangnya RM2,500,000
 
iv.
Berpengalaman dalam bidang penternakan atau perkilangan sekurang kurangnya 3 tahun
 
v.
Mempunyai kilang memproses susu dengan kapasiti minima 20,000 liter seminggu
 
vi.
Menggaji tenaga professional (sekurang-kurangnya 30 % warga tempatan) dalam pengurusan syarikat
 
vii.
Sekiranya syarikat usahasama (JV) mestilah dimiliki oleh warga tempatan sebanyak sekurang-kurangnya 51 %
 
viii.
Menjadi Ahli koperasi penternak Tenusu
 
ix.
Bersedia memberi perkhidmatan teknikal kepada peserta cluster
 
x.
Bersedia membeli balik hasil pengeluaran ladang
 
xi.
Bersedia membuat kontarak dengan peserta cluster
 
xii.
Memenuhi syarat lain yang dikenakan (para 13)
  
b.
Peserta / penternak cluster
 
i.
Penternak Tenusu adalah warganegara
 
ii.
Berumur 18 tahun dan ke atas
 
iii.
Bersedia mengeluarkan modal bagi meningkatkan taraf pengurusan ladang tenusu
 
iv.
Berdaftar dengan mana-mana Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT)/Pusat Pengumpulan Susu (PPS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar
 
v.
Menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapat suntikan typhoid dan tetanus
 
vi.
Penternak sedia memberi sepenuh kerjasama kepada para pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan syarikat peneraju
 
vii.
Ladang penternak mestilah;
  
a)
Menghasilkan purata pengeluaran susu sekurang-kurangnya 100 liter sehari
  
b)
Disahkan bebas daripada penyakit Brucellosis dan Tuberculosis (TB)
  
c)
Ternakan diberi pelalian Penyakit Kuku dan Mulut (FMD) secara berkala sebagaimana ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan direkodkan oleh pihak Jabatan
  
d)
Mengamalkan GAHP dan bersedia ke arah persijilan ladang SALT
  
e)
Sekurang-kurangnya 75% pengeluaran susu mencapai gred A dan AA berdasarkan 4 kali ujian pengredan dalam sebulan oleh PPIT/PPS
  
f)
Mengamalkan sistem rekod ternakan yang dipersetujui oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar
 
viii.
Syarat-syarat kelayakan ini tertakluk kepada perubahan dari masa ke semasa
12. EPP 16 – Pelaburan dalam ladang lembu di luar negara – Syarikat dari Malaysia melabur ke atas ladang lembu baru atau sedia ada di Australia atau negara lain. Kerajaan juga menggalakkan supaya produk dipasarkan di Negara selain Malaysia. Syarikat yang berminat diminta mematuhi kriteria yang ditetapkan.
 
i.
Syarikat berdaftar di Malaysia sekurang-kurangnya Syarikat Sendirian Berhad, Berhad, Enterprise atau Perkongsian
ii.
Mempunyai Modal Dibenar sekurang-kurangnya RM 500,000
iii.
Mempunyai Modal Berbayar sekurang-kurangnya RM 250,000
iv.
Berpengalaman dalam bidang penternakan sekurang-kurangnya tiga tahun
v.
Menggaji tenaga professional (sekurang-kurangnya 30 % warga tempatan) dalam pengurusan syarikat
vi.
Sekiranya syarikat usahasama (JV) mestilah dimiliki oleh warga tempatan sebanyak sekurang-kurangnya 51 %
vii.
Mempunyai ikatan atau kerjasama perniagaan yang kukuh dengan syarikat luarnegara yang berpengalaman dalam penternakan lembu
viii.
Bersedia memberikan maklumat jualan kepada Jabatan

13. Syarat lain yang dikenakan kepada syarikat untuk penyertaaan semua EPP
 
i.
Mengemukakan permohonan rasmi kepada:
Ketua Pengarah
Jabatan Perkhidmatan Veterinar
WISMA TANI, BLOK PODIUM
LOT 4G1, PRESINT 4
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62630 PUTRAJAYA
 
ii.
Menyediakan Rancangan perniagaan
iii.
Membuat pembentangan kepada Pasukan penilaian
iv.
Mengemukakan maklumat Pendapatan Negara Kasar (GNI) menggunakan ‘Template’ yang disediakan
v.
Membuat rekod ternakan
vi.
Menandatangani perjanjian dan integriti Pack
vii.
Menjalankan projek dengan sebaik-baiknya
viii.
Mematuhi syarat lain yang dikenakan dari masa ke masa
 
Muat Turun
 
14. Rancangan Perniagaan yang disediakan sekurang-kurangnya mengandungi perkara asas sebagaimana berikut:
i.
Pengenalan projek
ii.
Latarbelakang syarikat
 
Rakan kongsi tempatan/asing
 
Pemilikan
 
Pegawai yang boleh dihubungi
iii.
Rancangan organisasi
 
Pasukan pengurusan
 
Struktur organisasi
iv.
Rancangan operasi
 
Sasaran pengeluaran bulanan & tahunan
v.
Rancangan Pemasaran
vi.
Rancangan Kewangan & pelaburan
 
Analisa kewangan jangka pendek & panjang
 
Pelaburan yang dibuat
 
Program pembesaran
vii.
Project Timeline and Gantt charts

15. Kandungan Pembentangan
i.
Menggunakan format yang diberikan oleh PEMANDU
ii.
Memasukkan maklumat penting yang diminta iaitu Pendapatan Negara Kasar dan jumlah pekerjaan diwujudkan

16. Penutup

Sudah tiba masanya pihak swasta untuk merebut peluang dalam memajukan industri ternakan dengan pendekatan kerjasama swasta dan kerajaan. Ini kerana EPP adalah dipacu oleh pihak swasta dan kerajaan hanya akan memberi sedikit insentif jika perlu. Walaubagaimanapun kerajaan akan membantu atau memudahcara bagi mempastikan projek yang dijalankan mencapai kejayaan yang diharapkan.

DPN3

Objektif utama DPN3 adalah untuk memaksimakan pendapatan melalui penggunaan sumber secara optima dalam sektor ini. Ia meliputi usaha memaksimakan sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pendapatan eksport serta pendapatan petani, penternak dan nelayan. Secara spesifik, objektif DPN3 adalah untuk:

  1. Meningkatkan sekuriti makanan (food security)
  2. Meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor pertanian
  3. Mengukuhkan pertalian dengan sektor-sektor lain
  4. Mewujudkan sumber pertumbuhan yang baru untuk sektor pertanian
  5. Memulihara dan menggunakan sumber-sumber asli secara mampan

Semua ini memerlukan pendekatan dan teras strategik yang baru untuk mempertingkatkan sumbangan sektor pertanian dan perhutanan kepada petumbuhan ekonomi. Justeru itu, DPN3 memperkenalkan dua pendekatan strategik yang baru iaitu pendekatan perhutani (agroforestry approach) dan pendekatan berasaskan produk (product-based approach).

Pendekatan perhutani bertujuan untuk memberi perhatian kepada masalah kekurangan sumber-sumber termasuk tanah, buruh dan bahan mentah. Di bawah pendekatan ini, kegiatan pertanian dan perhutanan dilihat sebagai dua kegiatan yang serasi dan saling melengkapi, justeru, membuka peluang untuk dibangunkan bersama. Integrasi pertanian dan perhutanan juga adalah bertujuan membentuk asas pengeluaran yang lebih luas bagi kedua-dua sektor tersebut. Pendekatan ini akan memberi manfaat-manfaat berikut:

1. mewujudkan ruang yang lebih luas kepada pelbagai gabungan perusahaan perhutanan dan pertanian, mengoptimakan penggunaan sumber terutama tanah dan meningkatkan potensi penjanaan pendapatan dari pelaburan-pelaburan perhutani;  

  • membolehkan pengeluaran hasil pertanian dan perhutanan daripada tanah yang sama dan dengan ini mengurangkan tekanan permintaan untuk tanah pertanian yang baru;
  • menyokong pelbagai perhubungan simbiotik seperti penanaman spesis pokok hutan dengan tanaman industri untuk mengoptimakan penggunaan tanah dan memaksimakan pulangan; dan
  • memberikan peluang hasil pulangan yang awal dan berterusan daripada komponen pertanian di dalam perusahaan campuran tersebut. Ini akan menggalakkan penyertaan sektor swasta di dalam kegiatan tanaman hutan komersil dan dengan demikian meningkatkan bekalan balak untuk industri berasaskan kayu.

Pendekatan strategik baru yang kedua ialah pendekatan berasaskan produk. Melalui pendekatan ini, produk-produk dan pasaran-pasaran utama dikenalpasti berdasarkan permintaan, potensi pasaran dan cita rasa pengguna. Pendekatan berasaskan komoditi yang diamalkan sekarang telah menghadkan keupayaan dan keberkesanan sektor pertanian untuk menembusi pasaran yang bersegmen dan bernilai tinggi. Dengan menggunakan pendekatan berasaskan produk, ia akan memberi penekanan kepada keperluan dan cita rasa pengguna serta pasaran khusus di seluruh dunia. Permintaan dan keperluan pasaran ini digunakan untuk menggubal strategi-strategi pengeluaran pertanian huluan. Ini akan mewujudkan peluang untuk menambah pengeluaran dan meningkatkan keupayaan pemasaran hasil-hasil pertanian. Pendekatan ini akan dapat :-

  • melengkapkan pendekatan pembangunan berkelompok industri berasaskan pertanian yang telah dikenalpasti di dalam Pelan Induk Perindustrian 2 (1996-2005) melalui pengukuhan pertalian dalam dan antara sektor ekonomi yang akan merangkumi pembangunan dan peluasan industri sokongan dan perantaraan.
  • meningkatkan pengeluaran pertanian yang lebih khusus melalui penyampaian petunjuk-petunjuk pasaran serta pola citarasa pengguna kepada pengeluar di peringkat ladang. Ini akan menggalakkan pengeluaran produk-produk pertanian yang bermutu dan bernilai tinggi, membantu penghasilan perbezaan produk dan meningkatkan nilai ditambah produk-produk pertanian bagi memenuhi keperluan pelbagai segmen pasaran tempatan dan antarabangsa.
  • mengenalpasti dan memperluaskan peluang-peluang pasaran. Penggunaan petunjuk-petunjuk pasaran yang disalurkan kepada pengeluar akan memudahkan mereka membuat keputusan mengeluarkan bahan-bahan mentah yang diperlukan untuk menyokong aktiviti pengeluaran berasaskan pertanian dan aktiviti ekonomi yang lain. Ini akan meluaskan lagi skop pembangunan pertanian dan perhutanan serta mewujudkan peluang-peluang perniagaan dalam bidang-bidang perniagaan yang lebih luas melalui satu sistem rangkaian aktiviti pertanian dengan aktiviti sektor lain. Rangkaian ini termasuk penyelidikan dan pembangunan (P&P) serta penjanaan teknologi, pengeluaran dan pemprosesan primer, pengeluaran produk-produk pertengahan dan guna akhir, pengedaran dan perkhidmatan pemasaran serta produk akhir kepada pengguna.

Berasaskan pendekatan dan teras strategi yang baru ini, sektor pertanian dijangka mencapai kadar pertumbuhan sebanyak 2.4% setahun di sepanjang tempoh DPN3. Sumbangan sektor pertanian kepada KDNK dijangka turun daripada 13.5% dalam tahun 1995 kepada 7.1% dalam tahun 2010. Penurunan ini adalah selaras dengan perubahan keseluruhan struktur ekonomi yang dialami oleh kebanyakan negara maju di mana sektor pertanian adalah didorong oleh peningkatan produktiviti melalui penggunaan teknologi secara intensif, petani yang berpengetahuan di dalam amalan-amalan pertanian serta pembangunan industri-industri baru yang berasaskan pertanian. Kekurangan tenaga buruh yang berterusan dan persaingan faktor-faktor pengeluaran yang lain dijangka mengurangkan lagi sumbangan getah dan koko kepada KDNK pertanian, masing-masing daripada 10.6% dan 4.4% dalam tahun 1995 kepada 5.1% dan 2.9% dalam tahun 2010. Sumbangan kayu gergaji juga dijangka turun daripada 13.9% kepada hanya 5.3% dalam tempoh yang sama, seiring dengan dasar pengurusan hutan yang mampan.

Sektor pertanian dijangka memperolehi sumber pertumbuhan yang baru daripada hasil pelbagai inisiatif untuk menggalakkan pertumbuhan kumpulan industri baru seperti perhutani, produk asli istimewa, buluh dan rotan, produk bioteknologi, florikultur dan ikan hiasan. Sektor kecil makanan juga dijangka mengalami pertumbuhan ketara berikutan langkah-langkah intensif yang telah diambil untuk mengatasi kekangan-kekangan yang dihadapi berkaitan dengan pengeluaran, serta daya usaha lain untuk memperkukuhkan asas ekonomi sektor kecil ini. Sumbangan sektor kecil makanan kepada KDNK pertanian dijangka meningkat daripada RM4.3 bilion dalam tahun 1995 kepada RM7.4 bilion dalam tahun 2010. Permintaan kukuh yang kian meningkat terhadap minyak sawit di pasaran antarabangsa akan mempergiatkan lagi pertumbuhan industri ini. Nilai ditambah sektor kecil ini dijangka meningkat daripada RM6.8 bilion kepada RM10.3 bilion bagi tempoh tersebut, sementara sumbangannya kepada KDNK pertanian dijangka meningkat daripada 42.1% kepada 44.6%.

Sektor pertanian khususnya sektor-sektor kecil tanaman industri dan perhutanan akan terus memainkan peranan penting sebagai pembekal utama bahan mentah kepada industri berasaskan sumber. Sumbangan sektor pertanian kepada KDNK dijangka akan menjadi lebih penting apabila lebih banyak bahan mentah pertanian diproses dan dijadikan produk akhir untuk dieksport. Bagi menampung pengeluaran dalam negara dan memenuhi permintaan yang kian bertambah daripada industri hiliran, perolehan strategik bahan mentah melalui pelaburan di luar negara akan diusahakan.

Jumlah tenaga kerja dalam sektor pertanian akan berkurangan sebanyak 2.8% setahun daripada 1,429,000 pekerja dalam tahun 1995 kepada 930,000 pekerja dalam tahun 2010. Ia akan dilaksanakan melalui usaha-usaha mempertingkatkan penggunaan sistem pengeluaran intensif berautomasi dan mekanisasi serta mengurangkan perusahaan-perusahaan pertanian yang berintensif buruh. Peningkatan kawasan penggunaan tanah pertanian dijangka akan menjadi terhad dalam tempoh ini disebabkan kekurangan tanah, tenaga buruh serta peningkatan kos pengeluaran. Oleh itu, pengeluaran dijangka bertambah melalui peningkatan produktiviti. Produktiviti pekerja dijangka meningkat daripada RM11,360 kepada RM24,730 setiap pekerja dalam tempoh yang sama. Ini mencerminkan penekanan yang diberi kepada teknologi jimat buruh, inovasi dan pengurusan ladang yang lebih cekap.

Di dalam tempoh DPN3, pertumbuhan pertanian dijangka akan terus meningkat melalui penggunaan tanah yang lebih intensif walaupun peluasan guna tanah adalah sederhana. Tanaman getah, padi, kelapa dan koko masing-masing dijangka akan berkurangan iaitu seluas 494,000 hektar, 302,600 hektar, 73,400 hektar dan 30,700 hektar. Kebanyakan kawasan ini akan ditanam semula dengan perhutani, kelapa sawit, buah-buahan dan sayur-sayuran. Pembukaan tanah baru pula akan hanya dilaksanakan di Sabah dan Sarawak di mana masih terdapat kawasan tanah yang luas. Dengan itu, peningkatan keluasan guna tanah dijangka meningkat hanya pada tahap 0.5% setahun iaitu daripada 5.7 juta hektar kepada 6.2 juta hektar.

1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Ia bukan satu dasar baru yang terpisah dari dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia.

Dalam erti kata lain 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara, iaitu Wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.

Pengertian ini adalah berdasarkan hujah bahawa untuk mencapai status negara maju sepertimana yang diilhamkan melalui Wawasan 2020, syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyat nya bersatu padu.

Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia , dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.
1Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.

Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.

1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.


* Untuk maklumat lanjut, sila layari www.1malaysia.com.my